Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) myBurgerLab, Andrew Chong, bersama seorang lagi individu susulan ciapan mereka di platform X yang dipercayai mengandungi elemen hasutan dan ugutan jenayah.

PDRM Tahan Dua Individu Termasuk Bekas COO myBurgerLab, Didakwa Muat Naik Ciapan Kontroversi

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri M Kumar, memaklumkan kedua-dua lelaki berusia 37 dan 43 tahun itu ditahan selepas siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5.

Menurut beliau, suspek pertama yang menggunakan akaun @ChongKahtze dipercayai memuat naik kenyataan mendakwa Malaysia bakal dikuasai golongan ekstremis dan akan berlaku revolusi. Sementara itu, suspek kedua dengan akaun @iFactoReal pula dikaitkan dengan ciapan berunsur ugutan yang mengaitkan serangan Israel terhadap kediaman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mahkamah kemudiannya membenarkan perintah reman terhadap kedua-dua mereka bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kumar menegaskan PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan media sosial sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Terdahulu, ciapan kontroversi itu turut mencetuskan kecaman ramai selepas dikaitkan dengan isu perundangan di Terengganu membabitkan denda terhadap lelaki Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat.

Kredit: X NewsBFM

 

 

 

 

 

[fbcomments]