Bekas pelakon drama bersiri Gerak Khas iaitu Datuk Shaharon Anuar Abdul Latif dilaporkan terlibat dalam kemalangan yang membabitkan tiga buah kereta di Batu 6, Jalan Tanjung Tualang pada Ahad semalam.
Mengalami Sakit Di Bahagian Dada
Memetik laporan Kosmo! Online, Shaharon Anuar, 61, yang juga merupakan pesara polis bersama isterinya, Datin Norasmariah Basri, 46, dikatakan mengalami sakit di bahagian dada. Menurut Ketua Polis Daerah Batu Gajah iaitu Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif, beliau memaklumkan bahawa pihak mereka menerima maklumat mengenai kemalangan yang melibatkan tiga buah kenderaan pada jam 3.15 petang.
Kemalangan berlaku ketika kereta jenis Perodua Kancil dan Perodua Kelisa dipandu masing-masing lelaki berusia 29 dan 38 tahun dalam perjalanan dari arah Tanjung Tualang ke Batu Gajah.
“Kereta jenis Proton Perdana dipandu Shaharon yang juga bekas Ketua Jabatan Pengurusan Kuala Lumpur itu pula datang dari arah bertentangan. Setibanya di simpang tiga, pemandu Perodua Kelisa memperlahankan kereta untuk membelok ke kanan, sebelum dilanggar Perodua Kancil dari belakang. Pelanggaran itu menyebabkan Perodua Kelisa yang dinaiki empat beranak tersebut masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton Perdana,” katanya di sini hari ini.
Akibat kemalangan itu, pemandu Perodua Kelisa sakit di bahagian dada, manakala isterinya yang berusia 34 tahun luka di bahagian pinggang.
Kesemua Mangsa Yang Terlibat Dirujuk Ke Hospital
Mengulas lanjut, dua anak pasangan itu masing-masing berusia lapan dan setahun pula luka di kepala. Pemandu Perodua Kancil turut sakit di bahagian dada. Mereka dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk rawatan manakala Shaharon Anuar dan isteri pula dirujuk ke Perak Comunity Specialist Hospital.
Kredit: Kosmo! Online