fbpx

Sebuah kemalangan dilaporkan berlaku di Jambatan Pulau Pinang, George Town yang melibatkan sebuah lori dan motosikal serta tiga lagi kereta pada awal pagi Sabtu, semalam. Berdasarkan sumber yang dipetik dari Berita Harian, dua individu yang dipercayai pasangan tunang maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka telah dilanggar oleh sebuah kereta yang dipandu oleh seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di lokasi terbabit.

Pasangan Tunang Maut

Menurut sumber, difahamkan kejadian tersebut berlaku pada jam 2.30 pagi yang melibatkan kereta dipandu oleh remaja berkenaan melanggar belakang sebuah lori sebelum kenderaannya hilang kawalan dan merempuh motosikal pasangan tunang itu. Ketua Polis Daerah Seberang perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San memaklumkan bahawa kesan impak kemalangan itu, dua mangsa yang berusia awal 20-an telah disahkan maut di lokasi kejadian.

“Pemandu kereta cedera ringan manakala pemandu lori tidak cedera. Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila remaja lelaki warga tempatan yang datang dari arah Pulau menuju Perai disyaki telah melanggar bahagian belakang sebuah lori. Susulan pelanggaran itu, kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum melanggar motosikal yang ditunggang lelaki dan pembonceng wanita warga tempatan yang menyebabkan kedua-duanya parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” jelasnya.

Netizen Dakwa Kereta Dipandu Dengan Laju, Dipercayai Berlumba

Menerusi maklumat awal yang dikongsikan oleh orang awam di media sosial, kejadian tersebut didakwa berpunca daripada sebuah kereta yang dipercayai dipandu secara laju dan berbahaya, dipercayai berlumba. Kini, pemandu kereta telah direman sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]