fbpx

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melaporkan  bahawa mereka akan memberi pengecualian pembayaran yuran pengajian kepada anak mangsa nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) semalam, sehingga mereka tamat belajar.

Diberi Pengecualian Yuran IPTA Kepada Anak Mangsa Nahas

Menurut laporan Harian Metro, Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan bahawa  cadangan itu juga sudah mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan pengecualian itu akan membabitkan yuran pengajian anak perempuan sulung Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi yang juga penuntut tahun pertama Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Nurul Shahfiqah, 21.

“Ini anak yang belajar di universiti awam dan setakat ini kita mendapat maklumat, yang hanya seorang anak (iaitu anak Mohd Shahrizan) belajar di UMK.

“Bagaimanapun kalau ada anak (mangsa lain) yang sedang belajar (di IPT) boleh maklumkan dan kita akan melaksanakan dasar sama,” katanya selepas melawat keluarga Mohd Shahrizan di Taman Bunga Tanjong pada malam tadi.

Terima SSPN-i Berjumlah RM1,000

Dalam pada itu, difahamkan pihaknya juga akan menyalurkan sumbangan dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjumlah RM1,000 kepada 21 anak mangsa nahas yang dikenal pasti masih bersekolah.

“Kemudian kita akan mendapatkan maklum balas kerajaan untuk langkah seterusnya (berkaitan tabung SSPN-i) daripada segi tabung berkenaan (untuk) belajar ke peringkat tinggi. Anak masih bersekolah mereka tentu memerlukan tabungan untuk masa depan.

“Saya juga percaya Kerajaan termasuk Kementerian Pertahanan mungkin ada perancangan (untuk membantu anak mangsa nahas) jadi tabung ini memudahkan pihak berkenaan membantu anak terbabit,” katanya.

Kata Zambry, semua usaha yang dibuat itu adalah untuk memastikan supaya anak mangsa dapat meneruskan pengajian dan pihaknya tidak mahu mereka berdepan dengan kesulitan untuk menyambung pengajian di masa hadapan kelak.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]