Beberapa hantaran berilustrasi gelap yang dimuat naik oleh pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia, di Instagram miliknya baru-baru ini mencetuskan pelbagai reaksi, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai keadaan emosinya ketika ini.
![]()
Perkongsian Gambar Ilustrasi Suram Lee Zii Jia Cetus Kebimbangan Dalam Kalangan Peminat
Tanpa sebarang kapsyen, perkongsian tersebut menampilkan imej-imej simbolik berunsur suram seperti wajah terbakar, muka dicucuk jarum, sosok tubuh terbaring dengan kesan darah serta gambaran suasana kelam dan minda kosong.
Lebih membangkitkan spekulasi, gambar profil Instagram pemain berusia 27 tahun itu turut ditukar kepada latar hitam, sesuatu yang lazim dikaitkan dengan ekspresi kesedihan atau tekanan perasaan.
![]()
Meskipun tiada penjelasan diberikan, banyak pihak mula meluahkan kebimbangan mengenai keadaan kesihatan mental Zii Jia. Rata-rata peminat memenuhi ruangan komen dengan pesanan berbentuk sokongan moral dan kata-kata semangat, selain mendoakan agar beliau terus tabah menghadapi apa jua cabaran yang sedang dilalui.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Lee Zii Jia atau wakil pengurusannya berhubung maksud di sebalik perkongsian berkenaan.
![]()
Kredit: Instagram leeziijia