Baru-baru ini kecoh di media sosial apabila seorang lagi pemain bola sepak dari Selangor FC dan juga pemain kebangsaan iaitu Faisal Halim dikatakan telah disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pasar raya.

Mengalami Kelecuran Tahap Dua

Memetik laporan Sinar Harian, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor iaitu Mohd Najwan Halimi mengesahkan pemain bola terbabit mengalami kelecuran tahap dua.

Katanya, Faisal kini dirawat di sebuah hospital berdekatan dan mengalami lecur pada beberapa bahagian tubuh iaitu pada sekitar leher, bahu, lengan dan dada.

“Keadaan beliau stabil namun mengalami kelecuran tahap dua di beberapa bahagian tubuh iaitu di sekitar leher, bahu, lengan dan dada.

“Susulan serangan asid terhadap saudara Faisal Halim di sebuah kompleks beli belah petang tadi (semalam), saya telah berhubung dengan pihak pengurusan Selangor FC dan dimaklumkan bahawa saudara Faisal kini sedang dirawat di hospital,” jelasnya.

Faisal Dalam Keadaan Stabil Dan Laporan Polis Bakal Dibuat

Tambah Mohd Najwan lagi, beliau telah berhubung dengan pihak pengurusan Selangor FC dan dimaklumkan pemain sayap kebangsaan itu berada dalam keadaan stabil.

Beliau turut mengecam tindakan yang diperlakukan dan mahu pihak polis menjalani siasatan dan membawa pelaku ke muka pengadilan.

“Didoakan agar saudara Faisal diberikan kekuatan dan semangat dalam menghadapi musibah ini serta dikurniakan kesembuhan segera.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya melalui talian 03-79662222 bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]