Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dilaporkan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 12 sebuah kondominium dalam kejadian di Johor Bahru, Johor pada Selasa.
Kena Tinggal Ibu Sendirian Di Rumah
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan iaitu Asisten Komisioner Raub Selamat memaklumkan bahawa aduan mengenai kejadian itu diterima pada jam 6.30 petang.
Difahamkan, mangsa dipercayai ditinggalkan sendirian oleh ibunya yang turut membawa anak bongsu berusia empat bulan untuk mengambil anak perempuan sulung yang berusia 11 tahun dari sekolah.
Sejurus pulang dari rumah, wanita yang berusia 32 tahun itu mendapati anaknya yang ditinggalkan di rumah sebentar tadi sudah tiada di kediamannya.
“Kanak-kanak itu telah dijumpai di aras enam kondominium tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri. Mangsa dipercayai telah membuka pintu koridor rumah yang tidak berkunci dan memanjat dinding koridor hingga terjatuh ke bawah.
“Pegawai perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) mengesahkan kanak-kanak malang tersebut telah meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian badan dan kepala,” jelasnya.
Tambah Raub, wanita terbabit telah ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana cuai dan pengabaian terhadap kanak-kanak.
Kredit: Buletin TV3