Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda RM100 terhadap seorang lelaki warga Australia kerana membuang air kecil di tembok tempat letak kereta yang dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya pada minggu lepas.
Didenda RM100
Berdasarkan sumber dari Berita Harian, tertuduh iaitu Chih Peter, 32,mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu. Mengikut pertuduhan, difahamkan Peter didakwa berkelakuan kurang sopan di tempat awam dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan awam di tempat meletak kenderaan sebuah pusat membeli belah pada 10.51 malam.
Tertuduh yang tiba dari Australia pada 13 November lalu untuk menziarahi saudaranya dituduh di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, dan sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM100.
Terdesak Untuk Membuang Air Kecil Kerana Tak Dapat Tahan Untuk Pergi Ke Tandas
Menurut peguam tertuduh iaitu R Morhaneraj, beliau memaklumkan bahawa tertuduh terdesak untuk membuang air kecil di kawasan tempat meletak kenderaan kerana tidak dapat menahan kencing untuk pergi ke tandas ketika kejadian.
“Bagaimanapun, anak guam saya tidak menyedari kejadian tersebut dirakam. Bagaimanapun, tertuduh sudah mendapat pengajaran kejadian ini dan tidak akan mengulangi perkara itu di masa akan datang,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran kemudiannya memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum dan tertuduh juga perlu menjaga adab ketika berada di negara orang. Majistret kemudian menetapkan denda RM100 terhadap tertuduh dan penjara selama sehari jika gagal membayarnya. Tertuduh membayar denda tersebut.
Terdahulu, tindakan lelaki warga Australia yang membuang air kecil di tempat awam tular di media sosial sehingga mengundang kecaman pelbagai pihak, malah tindakan perakam yang dilihat menegur perbuatan tidak senonoh itu juga tidak diendahkan. Namun pada Selasa, individu tersebut dipercayai telah ditahan pihak polis atas sebab berkelakuan tidak senonoh dengan membuang air kecil pada tiang kawasan parkir di sebuah pusat beli-belah.
Kredit: Berita Harian