Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun disahkan maut selepas dipercayai keracunan makanan dalam kejadian di Gombak pada Isnin semalam.
Ibu Bawa Pulang Mihun Dan Telur Mata
Memetik laporan Harian Metro, bapa mangsa yang bernama Kamal memaklumkan bahawa mereka sekeluarga telah memakan dan menjamah mihun bersama telur mata yang dibawa pulang oleh isterinya.
“Isteri membawa pulang mihun dan telur mata selepas menghadiri satu program di sebuah sekolah agama di Sungai Cincin dan dimakan kami lima beranak,” ceritanya.
Ujar Kamal lagi, hanya dia, isteri dan anak lelaki (mangsa) yang menjamah telur mata sebelum kesemua mereka mengalami sakit perut. Difahamkan, dua lagi anak perempuannya hanya makan mihun, tanpa telur.
“Anak lelaki saya makan tiga biji telur mata. Hari ini (semalam) saya ke klinik dan menyangka anak lelaki tidak apa-apa namun sebaik pulang tengah hari tadi, saya terkejut kerana anak sudah meninggal dunia di rumah. Saya difahamkan makanan itu disediakan pihak luar yang ditempah oleh penganjur program terbabit,” kata Kamal.
Masih Menunggu Laporan Daripada Pihak Polis
Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) iaitu Datuk Mohd Shahzihan Ahmad mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian.
“Seramai 33 guru yang juga urus setia terbabit dan dakwaan membabitkan dua kematian membabitkan pihak ketiga (orang luar)”, jelasnya.
Kata Jais, pihak mereka masih menunggu laporan untuk mengesahkan kes kematian tersebut dan kenyataan berhubung kejadian akan dikeluarkan pihak polis dalam masa terdekat.
Kredit: Harian metro