Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan kerajaan Malaysia membayar ganti rugi sebanyak RM1.1 juta kepada keluarga model Belanda, Ivana Esther Robert Smit, selepas mendapati berlaku kecuaian dalam siasatan berhubung kematian remaja itu yang berlaku pada Disember 2017.

Mahkamah Arah Kerajaan Bayar RM1.1 Juta Kepada Keluarga Model Belanda Ivana Smit

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Roz Mawar Rozain yang membenarkan tuntutan saman difailkan oleh ibu mangsa, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen, 60, terhadap beberapa pihak termasuk Ketua Polis Negara, Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia.

Dalam penghakimannya, mahkamah mendapati wujudnya pelanggaran tanggungjawab penjagaan oleh pihak berkuasa yang menyiasat kes berkenaan, antaranya melibatkan kelemahan dalam pengurusan tempat kejadian, pemeliharaan bahan bukti dan juga pelaksanaan prosedur forensik.

Christina memfailkan saman itu pada 20 November 2020 atas dakwaan kegagalan pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan telus dan berhemah untuk mengenal pasti punca sebenar kematian anaknya yang ketika itu baru berusia 18 tahun.

Ivana ditemui meninggal dunia di tingkat enam kondominium Cap Square Residences, Kuala Lumpur, selepas dipercayai terjatuh dari unit kediaman di tingkat 20 yang dihuni oleh pasangan warga asing, Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.

Kes itu sebelum ini diputuskan sebagai kematian akibat nahas (misadventure) oleh Mahkamah Koroner pada 18 Mac 2019. Namun, tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, Christina mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi.

Hasil semakan semula pada 22 November 2019, Mahkamah Tinggi memutuskan kematian Ivana bukan sekadar insiden malang, sebaliknya disebabkan oleh tindakan seorang atau beberapa individu yang tidak dikenali.

Kredit: Berita Harian

 

 

 

[fbcomments]