Kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai sebanyak RM100 secara one-off kepada semua warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
![]()
Kerajaan Salur Bantuan RM100 Secara One-Off Bermula 31 Ogos Ini, Manfaat 22 Juta Warga Dewasa
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan di bawah Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) itu akan dikreditkan terus ke dalam MyKad penerima dan boleh digunakan untuk pembelian barangan keperluan asas.
“Bantuan ini diberikan kepada individu, bukan berdasarkan isi rumah. Sebagai contoh, dalam sebuah keluarga yang mempunyai empat orang dewasa, setiap seorang akan menerima RM100, menjadikan jumlah keseluruhan RM400,” katanya ketika menyampaikan Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia, pagi tadi.
Menurutnya, inisiatif ini melibatkan peruntukan RM2 bilion dan dijangka memanfaatkan lebih 22 juta rakyat, menjadikan ia antara program bantuan tunai berskala besar dalam sejarah negara.
![]()
Perdana Menteri menambah, penerima boleh membelanjakan bantuan tersebut di lebih 4,100 lokasi berdaftar di seluruh negara, termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus’s, Econsave, 99 Speedmart, serta pelbagai kedai runcit di peringkat daerah.
“Jumlah keseluruhan peruntukan bagi program bantuan tunai di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA kini meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk tahun 2025,” katanya lagi.
Kerajaan juga memaklumkan bahawa baki bantuan yang tidak digunakan menjelang akhir tahun ini akan dikaji semula dan diagihkan semula bagi memperkukuh program bantuan untuk golongan rentan tahun hadapan.
Kredit: mStar