Seorang lelaki dilaporkan maut selepas kereta jenis Perodua Viva yang dipandunya dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Senawang Paroi berhampiran Taman Rashidah Utama pada Khamis semalam.
Maut Dihempap Pokok
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Senawang iaitu Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nazri Azis memaklumkan bahawa mangsa yang bernama Ma Kamal Masri, 48, dikatakan tersepit di bahagian tempat duduk pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian yang berlaku pada jam kira-kira 4.11 petang.
“Sejurus menerima maklumat, seramai lapan anggota dari Balai Senawang telah ke lokasi dan sampai lima minit kemudiannya. Sebaik sampai, didapati keadaan kereta itu remuk teruk dan mangsa dilaporkan tersepit,” katanya.
Beliau turut menambah walaupun operasi mengeluarkan mangsa telah dilakukan, namun mangsa tidak berjaya diselamatkan dan mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din memberitahu kemalangan berlaku masih dalam siasatan.
Kredit: Harian Metro