fbpx

Seorang kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia dalam kemalangan yang membabitkan dua buah kereta di Kampung Mengabang Telong, Batu Rakit, pada malam Rabu.

Kereta Dinaiki Dirempuh Kenderaan Lain Semasa Dalam Perjalanan Untuk Solat Terawih

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu iaitu Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail, beliau memaklumkan bahawa kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam dan ia tercetus apabila kereta jenis Perodua Axia dinaiki mangsa bersama empat lagi ahli keluarganya dirempuh oleh sebuah Proton Wira.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian kenderaan dinaiki mangsa keluar dari simpang dan membelok ke kanan sebelum datang sebuah lagi kereta dari laluan yang sama tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang kereta tersebut.

“Kesan daripada pelanggaran itu menyebabkan mangsa yang ketika itu berada di bahagian belakang kenderaan meninggal dunia,” katanya

Tambah Wan Mohd Zaki lagi, nahas itu berlaku ketika mangsa lima beranak dalam perjalanan menunaikan solat terawih di masjid berdekatan.

Meninggal Dunia Di Klinik

Mangsa yang bernama Muhammad Wafiyuddin Adam, 11, disahkan meninggal dunia pada jam 9.38 malam ketika dihantar ke sebuah klinik oleh orang awam.

Kejadian menimpa Allahyarham juga mendapat perhatian dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail yang meluangkan masa menziarahi keluarga mangsa.

Mohd Shafizi turut menunaikan solat jenazah dan menghadiri urusan pengebumian mangsa di Tanah Perkuburan Islam Mengabang Telong, Batu Rakit pada Khamis.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]