fbpx

Baru-baru ini, bencana banjir kilat di Kuala Lumpur cukup membimbangkan apabila ia merisikikokan nyawa pengguna jalan raya ketika kejadian berlaku. Ia dapat dilihat apabila tindakan pantas tiga anggota polis sanggup menggadaikan nyawa mereka sendiri untuk menyelamatkan pemandu yang hampir lemas selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki pemandu tenggelam dalam keadaan banjir kilat di terowong Jalan Chan Sow Lin pada petang semalam.

Pemandu Terperangkap Dalam Kenderaan Dan Kereta Terapung Akibat Banjir

Berdasarkan sumber yang dipetik dari Harian Metro, tiga anggota polis tersebut telah diarahkan mengawal lalu lintas selepas beberapa jalan di Kuala Lumpur dilanda banjir kilat susulan hujan lebat. Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Zulkafli Chek Lah memaklumkan ketika tiba di jalan Chan Sow Lin, mereka terlihat sebuah MPV jenis Nissan X-Trail terapung di terowong yang dinaiki air dan pemandunya dikatakan terperangkap di dalam kenderaan terbabit.

“Melihat keadaan itu, salah seorang anggota berkenaan lantas terjun ke dalam air bagi menyelamatkan dan mengeluarkan mangsa”, jelasnya dalam kenyataan.

Terperangkap Sebab Tak Dapat Buka Pintu Bahagian Pemandu Akibat Ditenggelami Air

Zulkafli Chek Lah turut menambah pemandu yang berusia 27 tahun itu pada mulanya terperangkap kerana tidak dapat membuka pintu bahagian pemandu kerana sudah ditenggelami air.

“Namun, lelaki itu berjaya keluar melalui pintu penumpang belakang yang masih terapung beberapa minit kemudian. Mangsa kemudian dibawa ke tempat selamat dengan bantuan anggota terbabit”, katanya lagi.

Tiga anggota polis yang terlibat dalam menyelamatkan mangsa adalah Koperal Syed Syafiq Syed Halim, Lans Koperal Muhammad Afizul Ismail dan Lans Koperal Shahrip Kamaruzaman.

Terdahulu, hujan lebat di Kuala Lumput telah menyebabkan beberapa jalan utama dilanda banjir kilat sekitar jam 6 petang.

[fbcomments]