Sepasang suami isteri bersama anak lelakinya yang berusia tiga tahun dilaporkan terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan meskipun kereta yang dinaiki mereka terbabas dan jatuh ke dalam gaung dalam kejadian di Gunung Inas semalam.
Kereta Hilang Kawalan Sebelum Terbabas Dan Masuk Ke Dalam Gaung
Berdasarkan sumber Berita Harian, Ketua Polis Daerah Baling iaitu Superintendan Shamsudin Mamat memaklumkan bahawa dalam kejadian jam 7 malam, keluarga tersebut dikatakan dalam perjalanan dari Kampung Baru Kuak Luar di Pengkalan Hulu ke Baling dengan menaiki kenderaan jenis Honda City.
Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, wanita yang dikenali sebagai Nur Raihan Rumli yang sedang memandu telah kehilangan kawalan ketika sedang menuruni bukit.
Jelas Shamsudin lagi, Nur Raihan, suaminya Abdul Jalal Mat Zaini, 26 tahun, dan anak lelaki mereka Muhammad Adib Kamali Abdul Jalal tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Bagaimanapun, wanita itu dimasukkan ke zon merah Hospital Baling untuk pemerhatian kerana dia mengandung tujuh bulan.”
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Mohd Jamil Mat Daud berkata, pasukan penyelamat menggunakan tali untuk turun ke gaung bagi menyelamatkan mangsa.
Kesemua mangsa telah diselamatkan dan kemudian diberi rawatan sebelum dibawa ke Hospital Baling.
Kredit: Berita Harian