Pasangan suami isteri dan anak lelaki mereka yang berusia tiga tahun dilaporkan nyaris lemas apabila kereta Proton Pesona yang mereka naiki terbabas ke dalam sungai di Jalan Kangar-Alor Setar, Kampung Tok Pulau semalam.
3 Beranak Hampir Lemas. Orang Awam Berjaya Selamatkan
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Penguasa Kanan Bomba I iaitu Mohd Zaidi Ma’at menyatakan bahawa wanita dan anaknya tidak sedarkan diri ketika pasukan bomba tiba di tempat kejadian.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Empat menerima panggilan kecemasan pada jam 3.11 petang dan tiba di lokasi lima minit kemudian untuk operasi menyelamat.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, tiga mangsa tersebut sudah diselamatkan oleh orang awam. Namun, ibu dan anak itu masih tidak sedarkan diri dan diberikan bantuan pernafasan cemas (CPR) sebelum dibawa ke hospital oleh ambulans dari Kementerian Kesihatan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Mohd Zaidi menjelaskan bahawa lelaki itu bersama isteri dan anaknya, yang berusia sekitar 30-an, telah dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk rawatan lanjut.
Kredit: Harian Metro