Seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan dilaporkan maut selepas kereta yang dinaiki bersama ibu bapanya terbakar akibat terlanggar tiang lampu di hadapan sebuah bank yang terletak di Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Kelantan pada awal pagi Isnin.
Bayi 7 bulan rentung, bapa melecur satu badan lepas Honda Jazz rempuh tiang lampu di Jalan Gua Musang-Kuala Krai pic.twitter.com/pOSdNbZR5I
— Yon (@Amrlamnnn) November 27, 2023
Bayi Rentung, Bapa Melecur Satu Badan
Menurut sumber Majoriti Official, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai iaitu Mohd Fadzil Musa memaklumkan bahawa mangsa, Wan Sabeena Arisha Wan Shahrizat ditemukan rentung berhampiran kereta jenis Honda Jazz, manakala pemandu iaitu bapa mangsa, Wan Shahrizat Azwan Wan Shahril, 28, cedera parah akibat melecur seluruh badan.
“Pihak bomba terima panggilan kecemasan mengenai kemalangan jalan raya di lokasi berkenaan pada pukul 4.04 pagi membabitkan sebuah kereta Honda Jazz yang terbabas dan melanggar tiang lampu sebelum kenderaan dinaiki tiga beranak itu terbakar” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ibu Mangsa Hanya Mampu Menjerit Melihat Tragedi Yang Berlaku Depan Matanya
Difahamkan lagi, mayat bayi berkenaan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala bapa dan ibu mangsa, Nur Hasidah Razmi, 25, yang cedera ringan diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut. Berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial sejak Isnin, kedengaran jeritan Nur Hasidah Razmi yang menyaksikan kejadian menimpa suami dan bayinya depan mata.
Setakat ini, masih belum ada sebarang kenyataan dari pihak berkuasa berhubung tragedi tersebut.
Kredit: Majoriti Official