Seramai lima remaja bawah umur dijangka dihadapkan ke Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu ini susulan siasatan berhubung kes buli yang melibatkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
![]()
5 Remaja Bawah Umur Bakal Berdepan Pertuduhan Kes Buli Zara Qairina di Mahkamah Kota Kinabalu
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan, kesemua remaja berusia bawah 18 tahun itu akan didakwa selepas pihaknya meneliti laporan siasatan yang dikemukakan polis.
Katanya, keputusan untuk membawa pertuduhan dibuat selepas menilai bukti serta keterangan yang diperoleh sepanjang siasatan.
“Lima remaja akan dituduh di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu kerana disyaki terbabit dalam perbuatan buli terhadap Allahyarham Zara Qairina,” jelasnya.
Dalam masa sama, pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan proses pertuduhan itu tidak menjejaskan prosiding inkues bagi menentukan punca sebenar kematian remaja berkenaan yang sedang berjalan di mahkamah.
![]()
AGC turut menambah bahawa siasatan polis berkaitan insiden ini akan terus diteruskan bagi memastikan setiap aspek termasuk kemungkinan unsur lain dapat dibawa ke muka pengadilan.
Kes buli yang dikaitkan dengan Zara Qairina sebelum ini mencetuskan perhatian ramai selepas mangsa dilaporkan mengalami penderitaan serius sehingga membawa kepada kematiannya.
Kredit: Buletin TV3