Mahkamah Tinggi Tawau semalam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup serta 12 sebatan ke atas seorang bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu berusia 20 tahun selepas didapati bersalah membunuh rakan sekolejnya, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada tahun lalu.

Bekas Pelajar Kolej Vokasional Dihukum Penjara Seumur Hidup, 12 Rakan Dipenjara Atas Kesalahan Bunuh

Dalam prosiding yang dipengerusikan Hakim Datuk Duncan Sikodol, seramai 12 lagi tertuduh yang masih di bawah umur turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang Dipertua Negeri Sabah.

Sebelum ini, pada 22 Ogos, mahkamah memutuskan kesemua 13 remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun itu bersalah selepas perbicaraan mendapati mereka bertindak bersama-sama melakukan pembunuhan berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, mangsa yang mesra dipanggil “Ijat” didakwa dipukul beramai-ramai di dua bilik asrama kolej, iaitu Blok 7 Resak dan 5 Belian, antara jam 9 malam pada 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac 2023.

Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham berhubung kehilangan wang milik dua tertuduh sebelum berakhir dengan insiden tragis yang meragut nyawa pelajar berusia 17 tahun itu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup.

Kredit: Harian Metro

 

 

 

[fbcomments]