Suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah kini telah diperintahkan untuk reman selama tujuh hari lagi, bermula esok bagi memudahkan proses penyiasatan lanjut.
Keputusan ini diambil selepas tempoh reman awal selama seminggu, yang bermula pada 16 Julai lalu berakhir hari ini.
Video di bawah:
Suspek Disambung Reman
Perintah lanjutan reman ini dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Nurul Mardhiah Mohammed Redza, untuk membolehkan pihak polis meneruskan penyiasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Setakat ini, pihak berkuasa telah menjumpai beberapa bahan bukti yang dipercayai milik mangsa, termasuk beg tangan dan telefon pintar. Penemuan ini adalah hasil daripada operasi yang dijalankan oleh pasukan forensik di Kampung Sri Kledang dan Sungai Trolak, Perak.
Selain itu, pada hari sebelumnya, pihak polis turut mengambil keterangan daripada pekerja sebuah kebun ubi di Slim River, Perak. Hasil siasatan menunjukkan bahawa suspek telah mengunjungi kebun tersebut serta beberapa lokasi lain sebelum kejadian tersebut berlaku.
Terdahulu, mangsa yang bernama Nur Farah Kartini, 25, yang juga merupakan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dilaporkan hilang sejak 10 Julai yang lalu. Mayatnya kemudian ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit sejurus membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 26 tahun, yang juga seorang anggota polis berpangkat lans koperal.
Allahyarham Nur Farah telah selamat dikebumikan di Pekan, Pahang selepas jenazahnya dituntut oleh ahli keluarga dari Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh pada Khamis lalu.
Kredit: Buletin TV3