Semalam tularnya satu insiden di mana seorang pelajar lelaki yang merupakan calon SPM telah dilanggar dengan sengaja oleh seorang lelaki yang dipercayai pegawai kanan polis akibat ketidakpuasan hatinya terhadap pelajar terbabit yang dikatakan membuat bising menggunakan motosikal.

Terbaru, pegawai kanan polis terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang berlaku di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Meru.

Pegawai Polis Ditahan Polis

Berdasarkan sumber yang dilihat dari Harian Metro, Ketua Polis Daerah Ipoh iaitu Asisten Komisioner Yahaya Hassan memaklumkan bahawa pegawai dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah terbabit bakal direman hari ini, Sabtu untuk siasatan lanjut. Beliau menjelaskan pihaknya telah menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian yang membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Ativa bersama motosikal jenis Yamaha pada jam 12.40 tengah hari semalam.

“Penunggang motosikal, iaitu remaja berusia 17 tahun meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pegawai polis berusia 44 tahun tidak mengalami kecederaan. Hasil bedah siasat mendapati punca kematiannya adalah kecederaan bahagian dada dan abdomen akibat kemalangan jalan raya,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Siasatan Akan Dilakukan Dan PDRM Tidak Akan Melindungi Sesiapa Termasuk Pegawai Sendiri

Mengulas lanjut, Yahaya turut berkata siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut termasukk siasatan jenayah yang lebih fokus kepada kesalahan mematikan orang atau membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“PDRM tidak akan melindungi sesiapa termasuk pegawainya sendiri sekiranya mempunyai bukti yang kukuh. Orang awam juga diminta supaya tidak membuat sebatang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau boleh menimbulkan sebarang kegusaran awam,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, media melaporkan polis sedang menyiasat kejadian seorang pelajar berusia 17 tahun maut dilanggar lari oleh sebuah kereta berhampiran SMK Jati, Meru, di sini tengah hari semalam. Mangsa meninggal dunia ditempat kejadian manakala pegawai polis terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]