Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan terdapat 1,195 kes positif jangkitan COVID-19 di daerah Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna dalam tempoh 1 hingga 27 September 2020.

Daripada jumlah itu Lahad Datu telah merekodkan sebanyak 241 kes, Tawau 634 kes, Kunak 65 kes dan Semporna pula sebanyak 255 kes.

Malah Dr Noor Hisham turut berkata, penularan wabak Covid-19 di Sabah kian membimbangkan.

Menurutnya lagi, kerajaan tidak boleh melaksanakan PKPDB ketika Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah bagi memberi hak dan tidak menyekat kebebasan rakyat untuk mengundi dan memilih pentadbiran baharu.

PKPDB di beberapa daerah Sabah

Mengambil kira jumlah kes tersebut, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran di kawasan-kawasan ini.

PKPDB secara pentadbiran ini akan berkuatkuasa mulai 12.01 tengah malam ini, 29 September 2020 sehingga 12 Oktober 2020 dan akan melibatkan seramai 962,661 orang penduduk.

Membendung dari terus merebak

Pelaksanaan PKPDB ini bagi membendung jangkitan dan penularan COVID-19 dalam daerah tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.

Dengan pelaksanaan ini, semua penduduk tidak dibenarkan keluar dari kawasan dan pelawat juga tidak dibenarkan masuk.

Semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan dan perkhidmatan (essentials). Semua laluan keluar masuk kawasan PKPDB turut ditutup.

Dikawal rapi

Bagi memastikan pematuhan perintah ini, pihak polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam, RELA dan beberapa Pihak Berkuasa Tempatan serta pegawai yang diberi kuasa, akan terus mengawal seluruh kawasan.

[fbcomments]