Empat individu, termasuk pasangan suami isteri pempengaruh yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 11 Julai, kini telah dibebaskan.
Kena Bayar RM100,000 Setiap Seorang
Menurut laporan Sinar Harian, setiap suspek diperintahkan membayar wang jaminan sebanyak RM100,000 dengan RM20,000 perlu dibayar secara tunai dan baki RM80,000 tanpa cagaran, dengan seorang penjamin bagi setiap suspek.
Kesemua suspek juga diwajibkan untuk hadir ke pejabat SPRM setiap bulan bagi melaporkan diri sehingga siasatan selesai, seperti yang dinyatakan pada Selasa.
Sebelum ini, keempat-empat suspek ditahan ketika mereka hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, kerana dipercayai terlibat dalam penyelewengan dana derma awam.
Menurut sumber, pasangan suami isteri tersebut didakwa telah menyeleweng dana derma sejak tahun 2020, dengan kutipan derma yang tidak disalurkan secara betul.
Anggaran jumlah kutipan derma tersebut mencapai kira-kira RM3 juta, dan dua suspek tambahan turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes yang sama.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, mengesahkan bahawa semua suspek telah dibebaskan daripada tahanan reman.
Kredit: Sinar Harian