Empat remaja yang disiasat berhubung kes rogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun telah dibebaskan dengan jaminan polis, sementara menunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya.

Dibebaskan Dengan Jaminan Polis

Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak iaitu Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, beliau memaklumkan bahawa suspek yang berumur antara 14 hingga 17 tahun itu telah dibebaskan setelah tempoh reman selama tiga hari berakhir pada Ahad.

“Suspek telah dibebaskan dengan jaminan pada petang semalam (Ahad). Kertas siasatan kini telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” kata beliau ketika dihubungi pada hari Isnin.

Difahamkan kejadian malang ini berlaku pada hari Rabu, dimana mangsa yang bersekolah di Teluk Intan mendakwa suspek pertama dan kedua telah merogolnya secara bergilir-gilir dalam sebuah kereta sekitar jam 6.30 petang ketika mereka sedang bersantai di kawasan air terjun.

Seterusnya, mangsa mendakwa suspek ketiga telah merogolnya sekitar jam 8.30 malam di rumah suspek setelah dia mengikut suspek pulang. Tragedi ini berulang lagi sekitar jam 12.30 tengah malam apabila mangsa dirogol oleh suspek keempat di kawasan semak ketika mereka keluar bersiar-siar.

Siasatan awal polis mendapati mangsa mengenali suspek pertama yang berusia 16 tahun melalui media sosial, sebelum dia diperkenalkan kepada suspek-suspek lain.

Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]