Jenazah suspek lelaki yang ditembak mati dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada Jumaat lalu dilaporkan masih belum dituntut oleh ahli keluarganya di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI).

Proses Pengebumian Tidak Dapat Dilakukan Kerana Jenazah Tidak Dituntut

Memetik laporan Sinar Harian, dimaklumkan proses bedah siasat sudah pun selesai, namun proses pengebumian ke atas suspek masih tidak dapat dilakukan meskipun kuburnya di Pusara Islam Kampung Sungai Tiram, Batu 19, Kampung Sungai Tiram sudah sedia sejak Sabtu.

Menurut maklumat, petugas media telah berada di tanah perkuburan tersebut sejak pukul 1 petang dan sehingga pukul 8 malam, masih belum ada tanda-tanda jenazah akan dikebumikan pada malam Ahad. Malah persiapan bagi pengebumian jenazah sudah dilakukan dengan memasang khemah biru, namun jenazah untuk dikebumikan tidak kelihatan pada malam terbabit.

Keluarga Atau Saudara Suspek Tidak Kelihatan Di Tanah Perkuburan

Difahamkan kedudukan kubur yang sudah siap digali itu terletak di hujung tanah perkuburan tersebut iaitu kira-kira 300 meter dari kubur lain.

Selain itu tidak kelihatan polis atau ahli keluarga termasuk sanak saudara dan rakan suspek yang hadir di tanah perkuburan tersebut sehingga jam 6 petang.

Suspek sebelum ini tinggal di Jalan Robani, Kampung Sungai Tiram iaitu tidak jauh dari tanah perkuburan tersebut.

Terdahulu, dalam kejadian pada jam 2.30 pagi Jumaat, dua anggota di Balai Polis Ulu Tiram, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut manakala seorang lagi parah selepas ditetak dan tembak suspek.

Anggota polis yang cedera akibat ditembak itu kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]