fbpx

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan dan mendedahkan lakaran wajah atau fotofit suspek kes simbah asid yang membabitkan pemain bola sepak Selangor FC iaitu Faisal Halim pada Ahad.

Polis Dedah Lakaran Bersama Butiran Fizikal Suspek

Berdasarkan laporan Harian Metro, Ketua Polis Negara iaitu Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan bahawa lakaran suspek kejadian turut disertakan bersama butiran fizikal.

“Suspek dianggarkan berumur 30 tahun dan berketinggian 165 sentimeter. Selain itu, suspek mempunyai susuk badan sederhana serta berkulit sawo matang,” jelasnya pada Ahad.

Razarudin turut menambah, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan individu berwajah seperti lakaran fotofit terbabit diminta segera menghubungi polis.

“Sebarang maklumat berkaitan dapat disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas dan Undang-Undang(D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Inspektor M Jagachandran di talian 012-684 8166 / 03-2266 6071. Selain itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh tampil ke mana-mana balai polis berhampiran,”ujarnya.

Pada 5 Mei lalu, Faisal Halim dimaklumkan telah mengalami kecederaan lecur tahap empat selepas dia disimbah asid oleh dua individu bermotosikal di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Susulan kejadian itu, polis berjaya memberkas dua lelaki secara berasingan di Pandan Indah, Ampang dan Bangi pada hari kejadian serta Isnin lalu.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]