Baru-baru ini seorang wanita dilaporkan maut di dalam sebuah bilik hotel selepas dipercayai telah dibunuh oleh suaminya sendiri akibat masalah rumah tangga yang hampir membawa kepada penceraian.
Terbaharu, abang kepada mangsa yang bernama Syahiran Shaharun memaklumkan bahawa adiknya itu pernah menerima ugutan jenayah sejak lebih setahun yang lalu.
Arwah Terima Ugutan Jenayah
Memetik laporan Harian Metro, difahamkan mangsa dan suspek telah berkahwin pada tahun 2022 dan menetap di Kedah.
Bagaimanapun, Allahyarhamah dikatakan sering dipukul dan diugut suaminya yang culas memberi nafkah dan disebabkan itulah, arwah bapa, Shaharun membawa mangsa yang bernama Nisya Syahkila dan anak lelaki berusia sembilan tahun menetap bersama keluarga di Perak pada tahun sama.
Menurut sumber, suspek bertindak membunuh isterinya itu kerana tidak berpuas hati mangsa ingin meneruskan tuntutan fasakh walaupun sudah dipujuk.
“Ini adalah perkahwinan kali kedua arwah. Anak lelaki itu hasil perkahwinan arwah bersama suami pertama.
“Sepanjang tempoh di Perak, arwah sudah beberapa kali membuat laporan polis kerana menerima ugutan menerusi panggilan telefon dan mesej suara secara berterusan.
“Mei lalu, suspek pernah ditahan reman oleh polis selama dua hari sebelum dilepaskan,” katanya semasa ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun semalam.
Keluarga Sudah Halang Mangsa Untuk Berjumpa Suspek
Menceritakan semula kejadian, Syahiran memaklumkan bahawa Nisya Syahkila dan suspek sepatutnya menghadiri prosiding permohonan tuntutan cerai secara fasakh di mahkamah syariah pada hari kejadian iaitu kelmarin.
Pada mulanya, keluarga Nisya melarangnya untuk bertemu dengan suspek. Namun, arwah tetap bertegas dan yakin bahawa beliau mampu menyelesaikan masalah rumah tangga mereka dengan baik.
“Pada mulanya mak melarang adik bertemu lelaki itu, tetapi arwah yakinkan semuanya akan baik-baik sahaja, malah pada sebelah pagi, dia sempat menghantar anaknya ke sekolah menaiki motosikal sebelum kembali menemui lelaki itu.
“Mungkin arwah adik fikir ini kali terakhir kerana suaminya sebelum ini enggan hadir ke mahkamah walaupun berkali-kali diminta berbuat demikian.
“Suspek tidak rapat dengan keluarga kami, semasa awal perkahwinan dahulu sahaja dia beraya bersama,” ujarnya.
Meskipun masih terkejut dengan pemergian Nisya Syahkila yang juga merupakan anak kedua daripada enam beradik itu, Syahiran dan keluarganya tetap pasrah dan menerima takdir Allah dengan penuh reda.
“Arwah sebelum ini pernah kata dia mahu pergi jauh sekiranya suaminya tak mahu menceraikannya, saya sangka dia mahu tinggal dan bekerja di tempat lain.
“Apabila difikirkan semula, saya tak sangka kata-katanya itu adalah petanda dia akan pergi buat selamanya,” katanya sambil memberitahu jenazah Allahyarhamah Nisya Syahkila telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Belengkor, Batu Gajah selepas solat Asar semalam.
Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 27 Jun depan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kredit: Harian Metro