Anggota polis yang tercedera dan terselamat dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 17 Mei lalu dilaporkan sudah dibenarkan keluar dari Hospital Sultan Ismail (HSI) pada Sabtu.
Dibenarkan Keluar Hospital Selepas 9 Hari Terima Rawatan
Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Seri Alam iaitu Superintenden Mohd Sohaimi Ishak, beliau memaklumkan bahawa Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, dibenarkan keluar selepas sembilan hari menerima rawatan di HSI akibat cedera parah ditembak suspek di bahu dan pinggul.
“Dalam kejadian itu kedua-dua tembakan bahagian di bahu dan pinggul itu tembus. Dia yang mempunyai tiga anak berusia satu, tiga dan lapan tahun itu kini diberikan cuti selama dua bulan.
“Anggota berkenaan sudah diberi sesi kaunseling di HSI dan dia yang dipercayai masih trauma akan menjalani sesi kaunseling dalam tempoh tersebut sekiranya memerlukan,” katanya.
Bapa kepada tiga anak itu akan kembali ke jawatannya di ibu pejabat polis Seri Alam sebaik kesihatannya pulih sepenuhnya.
Akan Kembali Bertugas Jika Sudah Pulih Sepenuhnya
Dalam pada itu, Mohd Sohaimi bagaimanapun tidak menolak cuti yang diberikan turut bergantung kepada keadaan mangsa dan jika pulih sepenuhnya, Mohd Roslan akan kembali bertugas.
Sebelum ini, dalam serangan di balai polis tersebut pada jam 2.45 pagi 16 Mei lalu, dua anggota polis iaitu Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut manakala Mohd Roslan mengalami kecederaan. Suspek berusia 21 tahun turut maut apabila ditembak dalam insiden berkenaan.
Kredit: Sinar Harian