Lima ahli keluarga kepada suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram pada bulan lalu kini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada hari ini atas sembilan pertuduhan kesalahan berkaitan ideologi keganasan.
Didakwa 9 Pertuduhan
Menurut laporan Kosmo!, pertuduhan tersebut membabitkan bapa suspek, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62, dan ibunya, Rosna Jantan, 59, yang juga merupakan warga Singapura.
Selain itu, tiga adik beradik suspek iaitu Radin Romyullah Radin Imran, 34, Farhah Sobrina Radin Imran, 23, dan Mariah Radin Imran, 19 turut didakwa.
Berdasarkan fakta pertuduhan, Radin Imran berdepan empat pertuduhan termasuk Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas IS, menyimpan empat senapang angin buatan sendiri, telah berbaiah kepada pemimpin kumpulan IS iaitu Abu Bakar Al-Baghdadi dan memiliki buku berkaitan IS.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Sungai Tiram antara hujung tahun 2014 hingga 17 Mei lalu.
Radin Romyullah pula berdepan dengan dua pertuduhan iaitu telah berbaiah kepada pemimpin kumpulan IS iaitu Abu Bakar Al-Baghdadi dan memiliki ‘hard disc’ yang mengandungi bahan berkaitan IS dan aktiviti kumpulan terbabit.
Manakala Rosna, ibu kepada suspek serta Farhah Sobrina dan Mariah pula didakwa atas satu pertuduhan masing-masing iaitu dengan sengaja meninggalkan dari memberi maklumat berkenaan kesalahan berkaitan ideologi keganasan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 31 Julai.
Kredit: Kosmo!