fbpx

Ahli perniagaan iaitu Farah Cie meluahkan rasa syukur apabila pengawal peribadinya yang terkena tembakan di KLIA 1 pada 14 April yang lalu kini dilaporkan sudah sedar dan stabil.

Syukur Along Sudah Sedarkan Diri

Menerusi perkongsian yang dimuat naik di laman Facebook, Farah yang merupakan bekas isteri kepada suspek kejadian serba sedikit menceritakan tentang latar belakang mangsa iaitu Muhammmad Nur Hadith atau lebih mesra dipanggil sebagai Along.

“Untuk pengetahuan semua, Along merupakan pengawal peribadi utama saya dalam menjaga keselamatan saya sejak awal lagi. Dia mempunyai tiga cahaya mata dan akan menimang cahaya mata yang keempat. Anak sulung Along iaitu Adam adalah OKU (orang kurang upaya).

“Kebiasaannya Along yang akan mengangkat Adam untuk urusan bersihkan badan. Apabila Along sakit, isterinya tidak larat untuk mengangkat anaknya Adam yang kini sudah berumur 13 tahun.

“Apabila isteri Along ke hospital, emak isterinya yang akan menjaga anak-anak Along di rumah Along,” tulisnya.

Tambah Farah lagi, Along juga seorang yang rajin melakukan kerja sambilan kerana beliau merupakan anak sulung daripada tujuh beradik.

“Along merupakan anak sulung daripada tujuh orang adik-beradik. Along sangat mementingkan kekeluargaan dan merupakan individu yang sentiasa mengambil berat perihal keluarga.

“Along rajin bekerja sambilan bagi menyara keluarganya. Along sangat ringan tulang dalam membantu isterinya,” ceritanya.

Akan Bukan Tabung Kecemasan Buat Along Untuk Membantu Keluarganya

Dalam pada itu, Farah turut memaklumkan bahawa dia belum sempat berjumpa dengan Along selepas mangsa mula sedarkan diri. Namun Farah berpeluang untuk menziarahi isteri Along pada beberapa hari yang lalu.

“Alhamdulillah beberapa hari lepas saya berkesempatan untuk berjumpa isteri Along di Hospital Cyberjaya.

“Ketika itu, Along masih tidak sedarkan diri dan pihak hospital tidak benarkan orang luar ziarah kecuali ahli keluarga.

“Ayah Along pesan kepada saya jika ada jemaah atau sahabat-sahabat yang ke Makkah, minta tolong doakan Along di depan Kaabah.

“Insya-Allah kami akan buka tabung kecemasan untuk bantu keluarga Along. Mohon doakan ya,” tulis Farah di akhir kata.

Farah turut berkongsi foto ketika dia mewakili The Mahabbah yang menyampaikan sumbangan buat ahli keluarga pengawal peribadinya itu.

Pada 14 April lalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 digemparkan dengan kejadian seorang lelaki cuba menembak isterinya di balai ketibaan.

Bagaimanapun tembakan itu terkena Muhammmad Nur Hadith ketika melindungi majikannya.

Polis menahan suspek berumur 38 tahun, Hafizul Harawi di Kota Bharu, Kelantan pada petang keesokan hari.

Kredit: FB Farah Cie

[fbcomments]