Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memindahkan pegawai pentadbiran tertinggi sekolah menengah di Bandar Utama, Selangor yang menjadi lokasi kejadian tragis membabitkan pelajar tingkatan empat maut ditikam rakan sekolahnya baru-baru ini.
Pegawai Pentadbiran Sekolah di Bandar Utama Bakal Dipindahkan
Langkah itu diambil bagi memastikan proses siasatan berjalan dengan lancar serta mengelakkan sebarang gangguan terhadap pentadbiran sekolah sepanjang tempoh siasatan dijalankan.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, KPM sedang meneliti secara terperinci individu yang akan dipindahkan, termasuk mempertimbangkan jawatan-jawatan utama seperti pengetua dan guru penolong kanan. Beliau menjelaskan, keputusan itu merupakan prosedur biasa dalam kes yang melibatkan insiden serius di sekolah, bagi membolehkan siasatan dijalankan tanpa sebarang tekanan atau pengaruh dalaman.
“Kita sedang meneliti langkah terbaik supaya pergerakan dan urusan pentadbiran dapat dijalankan dengan teratur. Pihak kementerian akan mengambil tindakan segera untuk memastikan siasatan dapat diteruskan dengan lancar,” katanya dalam satu sidang media pada Selasa.
Menurut Dr. Mohd Azam, keputusan berhubung pemindahan pegawai terbabit akan diumumkan dalam masa terdekat selepas KPM menilai semua aspek pentadbiran sekolah berkenaan. Beliau menegaskan, siasatan yang kini dijalankan oleh pihak polis dan KPM perlu dilakukan secara menyeluruh tanpa sebarang halangan agar keadilan kepada semua pihak dapat dicapai.
Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan bahawa sesi persekolahan di sekolah berkenaan akan diteruskan seperti biasa bagi mengelakkan gangguan terhadap pembelajaran pelajar. Katanya, pihak sekolah juga telah diarahkan untuk memberi tumpuan terhadap aspek keselamatan serta kesejahteraan emosi pelajar dan guru susulan kejadian tragis berkenaan.
Kredit: Majoriti Official