Semua pentadbir utama dan warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha dipindahkan buat sementara waktu ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah berikutan siasatan berhubung kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir.

Pentadbir dan Warden Sekolah Dipindahkan Ke JPN Sabah

Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), langkah itu diambil bagi memberi laluan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara terperinci dan tanpa sebarang gangguan.

“Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM), serta semua warden ditempatkan sementara di JPN Sabah sehingga siasatan selesai. KPM memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada polis bagi memastikan semua proses siasatan berjalan lancar,” jelas kenyataan itu.

KPM turut menegaskan bahawa kes ini menjadi fokus utama pihaknya ketika ini dan berharap siasatan dapat dilakukan secara telus demi keadilan kepada keluarga mangsa serta semua pihak terlibat.

Sebelum ini, kubur remaja berusia 13 tahun itu digali semula untuk proses bedah siasat selepas arahan dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara agar polis menjalankan siasatan lanjut.

Kes kematian Zara Qairina kini dikendalikan oleh Pasukan Petugas Khas Bukit Aman yang telah mengambil alih siasatan daripada pihak polis tempatan.

Kredit: Sinar Harian, FB KPM

 

[fbcomments]