Media sosial baru-baru ini kecoh dengan isu Tan Sri Norza Zakaria yang juga merupakan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), yang dikatakan telah membawa individu yang tiada kaitan dengan kontinjen Malaysia ke Paris.
Perkara ini mencetuskan perdebatan hangat di kalangan netizen.
Norza Kesal Keluarga Kena Buli Siber
Namun, MOM menjelaskan bahawa Tan Sri Norza tidak menggunakan dana kerajaan untuk membawa keluarganya ke Sukan Olimpik Paris. Sebaliknya, beliau menanggung sendiri segala kos perbelanjaan tersebut.
Norza turut menyuarakan rasa kecewanya terhadap serangan siber yang ditujukan kepada keluarganya, menyatakan bahawa mereka tidak seharusnya menjadi mangsa dalam situasi ini.
Tan Sri Norza menegaskan bahawa beliau berkhidmat secara sukarela tanpa menerima sebarang bayaran atau elaun dari kedua-dua organisasi tersebut.
Tujuan utamanya adalah untuk meningkatkan prestasi dan membangkitkan semangat kebanggaan negara. Menurutnya, serangan terhadap keluarganya adalah tidak adil dan tidak wajar.
Michelle Chai iaitu Pengarah Pentadbiran BAM, turut mempertahankan tindakan Norza dengan menjelaskan bahawa segala peraturan telah dipatuhi.
“IOC sememangnya memberi akreditasi kepada presiden dan setiausaha agung NOC. Setiap daripada mereka mendapat seorang tetamu yang menemani dan pada kad itu, akan tertera perkataan MOM.
“Sama seperti atlet, pegawai juga tidak seharusnya dibuli secara siber. Sila fahami isu tersebut sebelum membuat komen.
“Jika kita tidak menyukai seseorang, tidak bermakna semua yang dia lakukan adalah buruk,” jelas Chai.
Dikatakan bahawa Tan Sri Norza sedang mempertimbangkan untuk melepaskan jawatannya di BAM berikutan kontroversi yang tercetus ini.
Kredit: MalaysiaKini