fbpx

Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming, kini berada di Kelantan bagi menyampaikan bantuan segera kepada mangsa banjir yang terjejas akibat bencana alam yang semakin memburuk.

Khairul Aming Hulur Bantuan Mangsa Banjir Di Kelantan

Dalam satu hantaran di media sosialnya, Khairul Aming memaklumkan bahawa beliau baru tiba dari Kuala Lumpur dan terus bergerak untuk menyalurkan bantuan sejak semalam.

Langkah pertama yang diambil adalah mengedarkan makanan kepada mereka yang terkesan, sebelum menyalurkan barangan keperluan asas menggunakan lori pada hari berikutnya.

“Petang ni (semalam) urgent nak kena hantar makanan dahulu, esok kita akan cuba hantar barangan keperluan asas menggunakan lori,”  katanya menerusi hantaran tersebut.

Beliau turut berkongsi keadaan terkini banjir di sekitar Kelantan dengan gambar dari udara yang menunjukkan lapangan terbang dikelilingi air banjir.

Dalam hantarannya, Khairul Aming menyatakan rasa prihatin terhadap mangsa banjir yang sedang menghadapi dugaan besar dan berharap agar semua berada dalam keadaan selamat.

Banjir yang melanda kali ini dikatakan antara yang terburuk sejak tragedi besar pada 2014. Menyedari situasi ini, Khairul Aming sebelum ini telah memuat naik video kesedaran di media sosial, menyeru masyarakat untuk lebih peka terhadap mangsa banjir terutama golongan kanak-kanak, warga emas, dan mereka yang sakit.

Beliau juga menggalakkan orang ramai untuk berkongsi maklumat lokasi banjir di kawasan mereka supaya info tersebut dapat disebarkan bagi membantu usaha bantuan dengan lebih cepat.

Setakat pagi semalam, data menunjukkan jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat dengan 59,232 orang dipindahkan ke 221 pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 50,947 orang pada malam sebelumnya.

Kredit: Instagram khairulaming

[fbcomments]