Syarikat aiskrim terkenal iaitu Inside Scoop telah menghentikan serta-merta penjualan aiskrim berperisa ubat batuk Pei Pa Koa setelah menerima arahan tegas daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Keluaran Aiskrim Campuran Ubat Batuk Dihentikan Selepas Dapat Teguran KKM
Dalam kenyataan rasmi yang disiarkan di laman X, Inside Scoop memaklumkan bahawa pelanggan yang telah membuat pembelian aiskrim tersebut secara dalam talian boleh memohon pemulangan wang penuh.
“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul,” tulis mereka.
Tindakan KKM ini menyusul setelah pemantauan mendapati produk aiskrim tersebut dicampur dengan ubat batuk tradisional Pei Pa Koa, yang sering digunakan untuk melegakan sakit tekak dan batuk. Arahan ini diberikan kepada semua premis yang menjual aiskrim berkenaan bagi melindungi kesihatan pengguna.
Menurut Akta Makanan 1983, Seksyen 13B (2), penyediaan atau penjualan makanan yang dicampur dengan bahan lain tanpa kelulusan adalah dilarang. Sekiranya disabit kesalahan, pihak yang terlibat boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya.
Untuk pengetahuan, Pei Pa Koa adalah produk tradisional yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, KKM, tetapi ia mempunyai kontraindikasi bagi wanita hamil seperti yang tertera pada label.
Kredit: X Insidescoop