fbpx

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan telah merakam percakapan Datuk Seri Aliff Syukri Kamazaman di Ibu Pejabat MCMC semalam susulan isu memuat naik video klip hari raya yang berunsur jelik dan mendatangkan ketidak senangan masyarakat di bulan mulia ini.

Percakapan Aliff Syukri Dirakam MCMC

Memetik laporan Kosmo!, pihak MCMC memaklumkan bahawa rakaman percakapan itu diambil susulan aduan diterima berhubung kandungan video teaser Hari Raya yang dimuat naik oleh usahawan terbabit di media sosial telah mendapat kecaman hebat dari netizen.

“Setelah kertas siasatan siap, ia akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut. Klip video raya yang dimuat naik di platform media sosial beliau dilihat sebagai kandungan yang bersifat jelik yang boleh melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

“Ini termasuk Seksyen 233 yang melarang pembuatan dan penghantaran komunikasi yang antara lain, bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain,” katanya.

Telefon Bimbit Dan Kad Sim Aliff Syukri Disita

Sementara itu, pegawai penyiasat turut menyita satu unit telefon bimbit beserta kad sim dipercayai milik Aliff Syukri yang telah digunakan untuk memuat naik video berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.

MCMC berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 [Akta 588].

Sebelum ini, tindakan Aliff Syukri memuat naik video teaser memaparkan dirinya bersama beberapa orang penari menari menggeletis bagi lagu raya baru yang akan dilancarkannya itu telah mengundang kecaman hebat netizen.

Namun setelah video itu mendapat perhatian, Aliff telah memadam video teaser berkenaan dan meminta netizen untuk tidak menyebarkannya lagi selain mengatakan ia hanyalah jenaka April Fool semata-mata.

Kredit: Kosmo!

[fbcomments]