Seorang anggota polis berusia 23 tahun maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta yang dipandu lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol dalam kemalangan di Jalan Temiang, berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Temiang, awal pagi Isnin.

Konstabel Polis Maut Dirempuh Kereta Dipandu Lelaki Disyaki Mabuk di Seremban

Mangsa, Konstabel Naim Mullah Mohd Affandi, yang bertugas di Balai Polis Jalan Campbell, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat perlanggaran tersebut. Beliau disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Zon Kecemasan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 1.01 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Temiang dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5.

“Di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu lelaki berusia 26 tahun dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan mangsa dan bertembung dengan motosikalnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pemeriksaan awal terhadap pemandu kereta berkenaan mendapati suspek disyaki berada di bawah pengaruh alkohol.

“Polis telah mengambil sampel darah untuk dianalisis di Jabatan Kimia, manakala suspek direman selama enam hari bermula Isnin bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Mohd Shahrizan Khairi di talian 019-8461792 atau melaporkan ke balai polis berhampiran.

Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kredit: FB Seremban Page

 

[fbcomments]