Seorang anggota polis berpangkat koperal berusia 52 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun dalam satu kemalangan pada minggu lalu.

Pelajar 16 Tahun Maut, Anggota Polis Didakwa Langgar Lampu Isyarat Merah

Tertuduh, Azhar Mat Saini yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Anis Suraya Ahmad.

Mengikut kertas pertuduhan, insiden berlaku sekitar jam 9 malam pada 28 Julai lalu di kawasan lampu isyarat pekan Guar Chempedak, apabila kenderaan dipandu Azhar didakwa telah melanggar sebuah motosikal yang ditunggang mangsa, Muhammad Nur Iman Danial Mohd Roshidi.

Menurut siasatan awal pihak polis, kemalangan itu berlaku selepas kenderaan jenis Perodua Axia dipandu tertuduh dipercayai tidak berhenti di lampu isyarat merah sebelum melanggar motosikal mangsa.

Remaja berkenaan mengalami kecederaan parah dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, namun disahkan meninggal dunia tiga hari kemudian.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nurhazirah Tuan Yahya mengendalikan pendakwaan manakala pihak pembelaan diwakili peguam S. Parameswaran.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Kredit: Bernama

 

 

[fbcomments]