fbpx

Sejak semalam Kota Mekah dan kawasan sekitarnya telah dilanda ribut petir dan hujan lebat yang teruk, dan kejadian tersebut dikatakan antara yang terburuk terjadi selepas tragedi kren tumbang pada tahun 2015.

Jemaah Terpaksa Cari Tempat Perlindungan Yang Selamat

Menurut sumber yang dilihat dari Kosmo!, kejadian tersebut berlaku 10 minit sebelum waktu Maghrib dan jemaah yang sedang menunaikan umrah dan solat di sekitar Masjidil Haram terpaksa lari bertempiaran untuk mencari tempat perlindungan yang selamat.

Akibat hujan lebat dan kilat petir menyambar di langit, pekerja pembersihan di perkarangan Kaabah turut berdepan dengan kesukaran apabila mereka dibawa angin yang bertiup kencang.

Menara Jam Disambar Kilat

Dalam pada itu, kejadian yang jarang berlaku dapat disaksikan apabila kilat menyambar menara jam Abraj Al-Bait yang dikenali sebagai Menara Jam Mekah. Menurut sumber lagi, Pusat Meteorologi Kebangsaan di Arab Saudi memaklumkan bahawa awan petir kumulus akan berada di kawasan Asir, Jazan, Al-Baha dan Mekah yang dijangkakan akan berlaku hujan sederhana hingga lebat.

Pihak berkuasa tempatan menyifatkan hujan ribut berkenaan sebagai rahmat untuk Kota Mekah, berikutan suhu di seluruh wilayah Arab Saudi semakin meningkat.

Laman web ramalan cuaca, Arab Weather turut menyatakan bahawa wilayah barat daya dan barat negara itu menyaksikan aktiviti cuaca luar biasa sepanjang minggu lalu yang membawa kepada hujan dengan intensiti berbeza-beza.

Kredit: Kosmo!

[fbcomments]