Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan kempen baharu bagi membanteras gejala buli di sekolah, termasuk langkah membina semula kesejahteraan mental pelajar dan meningkatkan keselamatan di persekitaran sekolah.

KPM Perkenal Kempen ‘Anti Buli’ di Sekolah, Langkah Baharu Tangani Gejala Buli

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat sebagai usaha memastikan setiap pelajar berada dalam persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan bebas daripada ancaman buli.

Menurut beliau, semua warga sekolah termasuk pengetua, guru besar dan guru akan digerakkan untuk melibatkan murid secara aktif dalam kempen ini, selain memberi kesedaran berterusan tentang bahaya dan kesan buli.

“Macam tadi saya sebut dalam mesyuarat, semua pengetua dan guru besar perlu pastikan sebelum masuk ke kelas, perkara pertama ialah melaungkan ‘Kami Benci Buli’.

“Selepas tamat sesi pembelajaran, sebelum pulang, murid juga perlu mengulanginya. Inilah peranan yang akan kita laksanakan untuk membina semula mental pelajar,” katanya.

Selain kempen kesedaran, KPM juga menubuhkan Jawatankuasa Jemaah Nazir yang akan menjalankan audit keselamatan secara menyeluruh di sekolah-sekolah, termasuk sekolah berasrama penuh dan sekolah harian.

Langkah tersebut turut disokong dengan penambahbaikan kemudahan pemantauan seperti pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan strategik, serta penambahan bilangan warden asrama bagi memastikan kawalan keselamatan lebih berkesan.

Dr. Mohd. Azam menegaskan, usaha membanteras buli memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, komuniti setempat dan pihak sekolah supaya budaya saling menghormati dapat diterapkan dalam kalangan pelajar.

Kredit: Buletin TV3

[fbcomments]