Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa murid tidak diwajibkan memakai tali leher ke sekolah mulai tahun hadapan. Pemakluman ini dinyatakan dalam surat siaran bertarikh 17 Disember lalu, yang disediakan hasil Mesyuarat Profesional KPM Khas 2025 pada 8 Disember.

Surat tersebut ditandatangani oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad.

Murid Tidak Wajib Pakai Tali Leher Mulai Tahun Hadapan

Walaupun pemakaian tali leher tidak diwajibkan, KPM menekankan bahawa pihak sekolah masih boleh membenarkannya sekiranya terdapat persetujuan bersama antara sekolah dan ibu bapa. Kementerian turut menegaskan bahawa tiada pihak dibenarkan memaksa atau memberi tekanan kepada murid berkaitan pemakaian tali leher.

Dalam surat berkenaan, KPM menjelaskan bahawa keputusan ini dibuat berdasarkan keperluan semasa murid dan mengambil kira faktor iklim tempatan yang panas dan lembap, yang boleh menjejaskan keselesaan murid sekiranya tali leher dipakai setiap hari. Selain itu, dasar ini juga bertujuan meringankan beban kewangan isi rumah dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.

KPM menegaskan bahawa dasar ini menunjukkan keprihatinan kementerian terhadap keselesaan murid serta usaha memudahkan ibu bapa dalam memenuhi keperluan persekolahan sebelum sesi baharu bermula.

Kredit: Berita Harian

 

[fbcomments]