Sejak kecil lagi, diri ini sudah dididik dan dipupuk oleh keluarga mahupun guru-guru untuk selalu melontarkan dan bercakap benda-benda yang baik sahaja kerana ia mencerminkan diri kita sendiri. Namun, ada juga segelintir masyarakat yang tidak terlepas untuk mengeluarkan kata-kata kesat dan sering mencarut kerana ia bagaikan rutin dalam kehidupannya jika tidak mengucapkan kata-kata tidak baik ini. Ia juga bergantung kepada sekeliling kita seperti dengan siapa diri ini berkawan, adakah keluarga sendiri juga bercakap secara tidak sopan dan sebagainya.
Tidak Dapat Mengucap Sebelum Menghembuskan Nafas Terakhir
Inilah kisah benar yang terjadi apabila seorang pengguna TikTok, dikenali sebagai @SyaurahIshak berkongsikan kisah mengenai pengakhiran seorang lelaki yang tidak dapat mengucap semasa sakaratul maut menjemput. Berdasarkan penerangan yang dibuat oleh Syaurah Ishak, lelaki tersebut telah mengalami kemalangan dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU). Menurut laporan doktor yang bertugas, keadaannya hanya tinggal ‘menunggu masa’ dan disebabkan itu, ahli keluarga dibenarkan untuk melawat.
Namun selepas dua hari menjaga lelaki tersebut, isteri kepada lelaki ini telah berjumpa dengan seorang ustaz untuk bertanyakan hukum sekiranya dia tidak mahu menjaga suaminya yang sedang nazak. Tanpa berfikir panjang, ustaz berkenaan lalu menziarahi lelaki itu pada sebelah petang.

“Pakcik.. Ikut Saya Mengucap”
Ketika ustaz tersebut berjaya melawatnya, lelaki tersebut dikatakan sedang dalam keadaan nazak dan ketika itulah beliau meminta lelaki itu untuk mengikutnya melafazkan kalimah “La Ila Ha Ilallah”. Namun lelaki tersebut sebaliknya mengeluarkan kata-kata kesat iaitu dengan mencarut.
Ustaz tersebut tersentak dengan apa yang dikatakan oleh lelaki itu namun terus mengajarnya lafaz yang sama buat kali kedua dan respon yang diterima tetap sama iaitu mencarut, dan ulangan kali ketiga oleh ustaz berkenaan juga diteruskan dengan carutan yang dilemparkan sebelum lelaki tersebut ditarik nyawa dan menghembuskan nafas terakhir.
Semua Perkataan Yang Disebut Adalah Carutan, Tiada Nama Allah
Selepas jenazah selesai diuruskan, isteri kepada arwah lelaki tersebut mula menceritakan perkara yang berlaku sepanjang beliau menjaga suaminya. Difahamkan, orang yang dalam keadaan sebegini akan menyebut kalimah Allah, berzikir dan mengingati Tuhan. Namun, tidak bagi suaminya yang sering mencarut sehingga si isteri berasa amat malu dengan orang lain.
Wanita yang berkongsikan kisah ini juga turut berpesan agar diri ini sebagai manusia, perlu menjaga tutur kata yang baik kerana pada bila-bila masa sahaja diri dijemput oleh sang pencipta.
Kredit: TikTok syaurahishak