Polis sudah menahan pemandu lelaki mabuk yang menyebabkan atlet kayak Malaysia iaitu Siti Nurul Masyitah Elias, 22, cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 3.5 Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) pada Sabtu.
Suspek Positif Alkohol, Namun Bebas Dari Dadah
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan iaitu Asisten Komisioner Raub Selamat memaklumkan bahawa ujian saringan pernafasan ke atas suspek yang berusia 30-an mendapati suspek positif alkohol, manakala ujian air kencing pula bebas daripada sebarang pengaruh dadah.
“Siasatan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod saman trafik yang belum dijelaskan tetapi tidak mempunyai rekod jenayah. Kemalangan tersebut berlaku semasa mangsa menunggang motosikal di Lebuhraya EDL menghala ke Kota Tinggi dilanggar kereta Toyota Vios dipandu suspek dari arah belakang pada jam 4.30 petang Sabtu.
“Kereta suspek dari arah belakang itu mengubah haluan secara tiba-tiba dari lorong tengah ke lorong kiri dan melanggar mangsa,” katanya.
Mangsa Retak Bahu Kanan, Tulang Pinggul Dan Luka Di Kaki
Beliau turut menambah kesan dari kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan retak bahu kanan, tulang pingggul dan luka di bahagian kaki, sementara suspek tidak mengalami sebarang kecederaan. Mangsa kini dirawat di Hospital Colombia Asia di Iskandar Puteri dan dijaga oleh ibu bapanya.
Sementara itu, suspek dikatakan ditahan dalam tempoh 24 jam untuk siasatan dan telah dibebaskan dengan ikat jamin. Jika sabit kesalahan katanya, pelaku boleh dipenjara sehingga minimum tujuh tahun atau maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM30,000 atau maksimum RM50,000.
Kes disiasat bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan.
“Pihak polis memohon saksi yang melihat kejadian tersebut agar tampil ke balai trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Kelly Lee Ya Yek 014 6977122,” jelasnya.
Terdahulu, Siti Nurul Masyitah dilaporkan cedera parah selepas dia dilanggar dan diseret sejuh 600 meter apabila motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan itu. Menurut saksi yang mempunyai rakaman kejadian, difahamkan sebuah kereta disyaki memandu dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum melanggar dan menyeret mangsa sejauh lebih kurang 600M.
Kredit: Sinar Harian