Baru-baru ini tular sebuah video yang memaparkan seorang lelaki warga asing, dipercayai berbangsa Myanmar yang dilihat melapah seekor kucing hidup-hidup tanpa rasa belah kasihan demi konten semata-mata.
Persatuan Haiwan Malaysia kemudiannya menawarkan RM3,000 bagi mana-mana saksi yang dapat memberikan maklumat berkaitan tindakan kejam lelaki terbabit.
Lelaki Warga Asing Lapah Kucing
Menerusi video yang kian tular di media sosial itu, difahamkan lelaki terbabit merupakan lelaki warga asing ekoran kedengaran dialek bahasa yang digunakannya.
“Lelaki yang sedang melapah kucing ini dipercayai berbangsa Myanmar dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan pelat warga asing.
“Ganjaran RM3,000.00 ditawarkan kepada saksi yang menyalurkan maklumat dan boleh mengesahkan kejadian hingga tertangkapnya pelaku dan dapat dibuktikan bersalah dan dijatuhi hukuman.
“Satu siasatan menyeluruh mengenai pembunuhan kucing ini perlu dilakukan untuk mengenal pasti kaedah mematikan kucing dan niat mematikan kucing sama ada ia bertujuan untuk dijadikan makanan atau bertujuan suka-suka.
“Jika siasatan mendapati kucing sengaja dibunuh dan untuk tujuan konten media sosial. Pelaku perlu ditangkap, disiasat secara menyeluruh, seterusnya dihadapkan ke muka pengadilan,” tulisnya.
Polis Berjaya Berkas Lelaki Terbabit
Terbaharu, pihak polis dilaporkan telah berjaya menahan lelaki yang berusia 33 tahun terbabit di Kampung Batu Belah, Klang, Selangor.
“Kami telah menjalankan siasatan susulan laporan diterima. Turut dirampas sebuah telefon bimbit jenis Oppo A5 milik suspek untuk membantu siasatan,” jelas Ketua Polis Daerah Klang Utara iaitu Asisten Komisioner S. Vijaya Rao dalam satu kenyataan.
Beliau memaklumkan bahawa siasatan dibuat selepas pihaknya menerima maklumat daripada pengadu yang menerima satu video berdurasi 47 saat memaparkan aksi seorang lelaki memotong kaki seekor kucing berwarna putih.
Difahamkan, suspek merupakan seorang pekerja kedai makanan ringan berhampiran Pasar Borong Klang. Kini, kes disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan.
Kredit: Kosmo!