Kebimbangan mengenai peningkatan kes kehilangan remaja semakin menjadi perbualan utama dalam kalangan masyarakat kita. Dalam tempoh sebulan sahaja, jumlah kes yang dilaporkan semakin meningkat, menimbulkan keresahan dalam kalangan ibu bapa dan penjaga.
Larikan Diri Dari Rumah Sebab Tekanan Emosional Kena Ejek Dengan Kawan
Terbaru, kisah seorang remaja perempuan yang hilang selepas keluar rumah pada 2 Julai lalu telah mendapat perhatian ramai. Polis mengesahkan bahawa remaja tersebut telah kembali ke pangkuan keluarganya di Taman Cempaka, Bukit Selambau, Kedah, pada petang semalam.
“Remaja tersebut telah kembali ke rumah pada jam 4 petang semalam,” ujar Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail.
Menurut sumber Berita Harian, Nurshazlyna Rosidi, 14, dipercayai melarikan diri akibat tekanan emosional setelah sering diejek mengenai bentuk badannya oleh rakan-rakan sekolah.
Sebelum ini, bapa Nurshazlyna, Rosidi Hanfi, telah membuat laporan polis selepas anak tunggalnya itu tidak pulang ke rumah selama dua hari. Rosidi menyatakan beliau sempat berhubung dengan anaknya melalui panggilan telefon dan cuba memujuknya untuk pulang, namun Nurshazlyna enggan memberitahu di mana dia berada.
“Setiap kali dihubungi, Nurshazlyna berjanji akan pulang, tetapi janji tersebut tidak dipenuhi sehingga kini. Dia juga menyatakan keinginan untuk hidup bebas,” kata Rosidi.
Kejadian ini menonjolkan betapa pentingnya kita sebagai masyarakat untuk lebih memahami dan peka terhadap perasaan serta masalah yang dihadapi oleh remaja.
Sokongan emosi dan perhatian yang sewajarnya amat penting untuk mengelakkan tindakan melarikan diri akibat tekanan.
Kredit: Berita Harian