Seorang lelaki tempatan bernama Muhamad Syafiq Zaharuddin kini dalam buruan pihak polis selepas disyaki terlibat dalam kejadian melarikan seutas rantai emas dari sebuah kedai emas di Bandar Botanik, Klang, baru-baru ini.
Suspek Larikan RM24,800
Ketua Polis Daerah Klang Selatan iaitu Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, mengesahkan pihaknya telah menerima laporan daripada seorang jurujual di kedai emas tersebut.
Siasatan awal mendapati insiden berlaku pada jam 1.40 petang, Selasa lalu apabila suspek, seorang lelaki tempatan, memasuki premis berkenaan kononnya untuk memilih dan membeli rantai emas sebagai hadiah untuk ibunya.
Jurujual kemudian menunjukkan rantai emas yang dipilih oleh suspek, sebelum lelaki itu keluar sebentar dari premis untuk membuat panggilan telefon di luar kedai.
Namun, tidak lama selepas itu, suspek kembali semula ke dalam kedai dan secara tiba-tiba bertindak mengambil rantai emas berkenaan, lalu melarikan diri dengan menunggang motosikal yang sudah sedia diparkir di hadapan premis tersebut.
Insiden tersebut menyebabkan kedai emas tersebut mengalami kerugian bernilai kira-kira RM24,800. Pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan kesalahan mencuri dalam bangunan.
Menurut Cha, pihak polis telah berjaya mengenal pasti identiti suspek dan kini sedang menjalankan operasi untuk menangkapnya.
Dalam masa yang sama, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini atau keberadaan suspek supaya tampil ke balai polis terdekat atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan.
Kredit: Buletin TV3