fbpx

Sebuah stesen minyak dipecah masuk selepas cermin pintu kaca premis berkenaan dilastik sehingga pecah dalam kejadian di Pekan Sook pada tengah malam tadi.

Mengalami Kerugian Sebanyak RM4,600

Memetik laporan Buletin TV3, difahamkan kejadian berlaku pada jam 12.30 malam, Isnin dan pemilik premis dikatakan mengalami kerugian sebanyak RM4,600 termasuk wang tunai dan barang jualan di stesen minyak tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Keningau iaitu Superintendan Yampil Anak Garai, beliau memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 5.46 pagi Isnin. Katanya, kejadian tersebut disedari oleh salah seorang pekerjanya yang datang ke stesen minyak untuk memulakan operasi perniagaan.

“Hasil semakan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terdapat tiga suspek yang terlibat. Salah seorang daripadanya bertindak melastik pintu kaca hadapan kedai sehingga pecah.

“Dua suspek kemudian telah masuk ke dalam kedai dan mencuri barang di dalam sementara seorang lagi bertindak sebagai pemandu menunggu di luar premis,” ujarnya.

Suspek Bersenjatakan Lastik Dan Besi Kuku Kambing

Tambah Yampil lagi, hasil semakan pada kamera litar tertutup (CCTV) juga mendapati suspek yang dirakam adalah berbadan kurus, memakai jaket dan berseluar panjang selain menggunakan pelitup muka serta bersarung tangan.

“Wajah kesemua suspek tidak kelihatan kerana menggunakan pelitup muka. Kenderaan yang digunakan Perodua Bezza namun hasil semakan lanjut nombor pendaftaran adalah palsu.

“Senjata yang digunakan suspek adalah lastik dan besi kuku kambing. Hasil pemeriksaan juga barang yang hilang melibatkan wang tunai sebanyak RM1,200, rokok jualan dan sebuah telefon bimbit. Usaha mengesan ketiga-tiga suspek sedang giat dilakukan,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah masuk premis.

Kredit: Buletin TV3

[fbcomments]