Lebih 12 jemaah termasuk kanak-kanak maut selepas penghawa dingin di sebuah masjid di daerah Narayanganj, Bangladesh meletup ketika jemaah selesai menunaikan solat Isyak sekitar jam 9 malam Jumaat, waktu tempatan.
Kejadian malam Jumaat itu turut menyebabkan sekurang-kurangnya 50 jemaah lain cedera dan melecur teruk, lapor agensi berita Xinhua.
Imam masjid tersebut, Imam Abdul Malek dan Muezzin Delwar Hossain juga antara yang turut dibawa ke hospital kerana kecederaan kritikal.
Kebanyakan mangsa melecur antara 60 hingga 70 peratus
Selain itu, menurut saksi, beberapa jemaah lain turut dilihat berlari keluar sebaik berlaku letupan manakala sebahagian besar ditemui terbaring di atas lantai masjid.
Pegawai bomba mengesyaki punca letupan adalah disebabkan kebocoran gas. Difahamkan, semua lapan penghawa dingin di tingkat bawah masjid terbakar ketika sekitar 100 jemaah berada di tingkat tiga.
Pegawai polis Fatullah di Narayanganj, Shafiqul Islam berkata, letupan besar itu menyebabkan kaca tingkap masjid pecah dan kipas siling, wayar serta papan suis elektrik terbakar.
Pihak bomba berjaya mengawal api dalam tempoh setengah jam.