Selepas lebih empat dekad menabur bakti sebagai jurubahasa isyarat, Tan Lee Bee, 64, akhirnya menerima pengiktirafan tertinggi apabila dikurniakan Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dalam istiadat penuh rasmi di Istana Negara pada Isnin.

Lebih 40 Tahun Berbakti, Jurubahasa Isyarat Pertama Negara Terima Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) di Istana Negara

Beliau yang tidak dapat menahan sebak ketika ditemui media menyatakan rasa syukur atas penghormatan yang diberikan. Jelasnya, anugerah tersebut bukan sahaja memberi makna besar kepada dirinya, malah mewakili seluruh komuniti jurubahasa isyarat di negara ini.

“Saya rasa gembira, terharu, ingin menangis juga … saya rasa amat bersyukur,” katanya.

Mula menceburi dunia bahasa isyarat bukan kerana populariti atau ganjaran, Tan menjelaskan bahawa segalanya bermula daripada kasih sayang seorang kakak terhadap adiknya yang merupakan orang kurang upaya pendengaran.

“Saya mempunyai seorang adik kurang upaya pekak …. Saya belajar bahasa isyarat kerana adik saya. Seterusnya saya mula bertugas sebagai seorang guru untuk orang pekak,” jelasnya.

Tan pernah berkhidmat sebagai guru selama 17 tahun dan mencatat sejarah apabila menjadi jurubahasa isyarat pertama yang dilantik secara rasmi oleh sistem kehakiman negara pada tahun 1994. Sebelum itu, beliau turut aktif dalam bidang penyiaran sejak tahun 1985, termasuk kemunculan awalnya menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia serta sebagai jurubahasa dalam siaran berita RTM dan kandungan rasmi kerajaan.

Selain terlibat dalam siaran televisyen, kepakarannya juga amat diperlukan oleh sektor korporat, terutamanya dalam membantu pekerja kurang upaya semasa mesyuarat atau sesi penerangan penting.

Majlis penganugerahan turut dihadiri Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, selain beberapa tokoh kenamaan seperti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Kredit: Bernama

 

 

[fbcomments]