Bekas pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, baru-baru ini meluahkan rasa kagumnya terhadap perlawanan mendebarkan yang disaksikannya antara beregu Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, serta pasangan Denmark, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen.
Perlawanan Yang Paling Mendebarkan
Chong Wei menyifatkan perlawanan tersebut sebagai yang paling mendebarkan yang pernah dilihatnya.
Dalam hantaran di Instagram, Chong Wei tidak menyangka bahawa Aaron dan Wooi Yik mampu melakukan comeback yang mengejutkan pada set kedua, hingga mencuri perhatian penyokong badminton Malaysia.
Beliau memuji semangat dan ketabahan kedua-dua pemain itu, yang secara dramatik berjaya mengembalikan harapan Malaysia untuk meraih lencana di dada.
“Antara match yang paling mendebarkan pernah saya saksikan. Tahniah Aaron- Wooi Yik.
“Gilalah game ini. Game yang patut kalah tapi gandingan lelaki sejati Melaka-Kuala Lumpur ini selangkah merangkak mengembalikan harapan untuk lencana di dada,” katanya.
Chong Wei yang telah meraih tiga pingat perak Olimpik sepanjang kariernya, turut mengucapkan terima kasih kepada beregu Malaysia atas usaha mereka.
Beliau menghargai pencapaian mereka dalam menghadiahkan pingat pertama untuk Malaysia di pentas Olimpik yang berprestij.
“Terima kasih Aaron-wooi yik. Andalah hero Negara sekali lagi. Malaysia sekarang secara rasmi, di tangga pingat Olimpik Malaysia, yeah!” tambah Chong Wei dengan penuh rasa bangga.
Untuk makluman, Aaron dan Wooi Yik menunjukkan kebangkitan yang luar biasa walaupun ketinggalan 16-20 pada set kedua. Mereka berjaya meraih enam mata berturut-turut yang membawa mereka ke perlawanan set penentuan.
Dalam tempoh 74 minit, mereka menewaskan pasangan Denmark dengan keputusan 16-21, 22-20, 21-19 dalam perlawanan penentuan pingat gangsa.
Kredit: Instagram leechongweiofficial